KUALA LUMPUR 24 Sept. – Keputusan Barisan Nasional (BN) untuk tidak meletakkan calon dan memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson bukanlah tindakan kali pertama kerana langkah sama pernah diambil dalam PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti pada 2009.
 Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dibuat selepas rundingan dan mendapat persetujuan bersama dengan MIC serta MCA.

Katanya, BN menganggap kerusi Parlimen berkenaan dikosongkan semata-mata bagi memenuhi cita-cita politik Ke­tua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden UMNO itu juga berkata, langkah tersebut sejajar dengan situasi kerajaan ketika ini yang didakwa dihimpit masalah kewangan yang serius.

“Kita mengambil keputusan bahawa BN akan memboikot PRK Port Dickson. Kita tidak akan meletakkan calon yang mewakili mana-mana parti BN,” katanya.

Yang turut hadir dalam sidang akhbar di Menara Dato’ Onn Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu ialah Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, tiada sebarang tindakan disiplin akan diambil terhadap ahli atau pemimpin UMNO atau BN yang menyokong Anwar dalam PRK itu bulan depan.

“Prinsip kami jika calon UMNO atau BN ditentang oleh mana-mana ahli, maka tindakan disiplin akan dikenakan terhadap mereka,” katanya.