Biar polis siasat kes baki tunggakan LHDN

Biar polis siasat kes baki tunggakan LHDN

PUTRAJAYA 25 Ogos – Semua pihak diminta memberi peluang kepada pihak polis menjalankan siasatan secara menyeluruh serta bertemu dengan semua pihak dan pegawai dalam Jawatankuasa Pengurusan Wang Tunai Kementerian Kewangan dalam kes melibatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ketika ini.

Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Siregar Abdullah berkata, semua pihak dalam jawatankuasa itu mengetahui apa yang betul serta prosedur operasi kewangan yang perlu mereka patuh dalam mengurus kedudukan kewangan negara.

Kenyataan itu sebagai reaksi kepada kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T. Subromaniam, pihak LHDN dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Guan Eng sebelum ini berkata, baki kredit yang belum dibayar balik oleh LHDN adalah berjumlah RM16.046 bilion iaitu membabitkan sebanyak 1,653,786 kes melibatkan syarikat, individu, persatuan dan yayasan.

Menurutnya, baki tunggakan yang amat besar itu disebabkan oleh kekurangan penyaluran pindahan hasil cukai langsung yang dikutip ke dalam akaun amanah Tabung Bayaran Balik Cukai (TBBC).

Tunggakan besar bayaran balik baki kredit sehingga melebihi enam tahun itu berlaku kerana Jawatankuasa Pengurusan Wang Tunai Kementerian Kewangan yang bermesyuarat secara bulanan dan dipengerusikan oleh Mohd. Irwan tidak memindahkan peruntukan yang mencukupi kepada TBBC seperti yang dimohon oleh LHDN, katanya.

Media semalam melaporkan bahawa LHDN ketika ini disiasat berhubung kes jenayah pecah amanah.

Semua ahli lembaga pengarah sedia ada dan penyandang terdahulu dijangka dipanggil memberi keterangan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) untuk merungkai kes kehilangan peruntukan dana terlebih bayar cukai pendapatan berjumlah RM14.56 bilion. – UTUSAN

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Video Terkini

Loading...