KUANTAN 3 Ogos – Umat Islam di negara ini perlu bangun dan bersatu atas dasar penyatuan ummah walaupun berbeza fahaman politik demi mempertahankan kesucian Islam serta memastikan orang Melayu tidak hilang kuasa.

Peringatan itu dinyatakan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bimbang dengan perkembangan semasa ketika ini yang menimbulkan keraguan dan kebimbangan ekoran isu-isu tidak memihak kepada Islam dan orang Melayu.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, hanya masa yang akan menentukan sama ada masa depan Islam dan orang Melayu lebih terjamin di bawah kerajaan baharu Pakatan Harapan atau di bawah pimpinan kerajaan terdahulu.

“Tetapi sehari dua ini, perkembangan berlaku tercetus rasa kekhuatiran, kebimbangan dan mungkin kecemasan. Prinsip yang amat penting bagi kita untuk terus ke hadapan adalah penyatuan ummah dan penyatuan umat Islam.

“Perpaduan adalah satu-satunya yang boleh menghindarkan keraguan kita mengenai masa depan Islam dan orang Melayu,” katanya ketika berucap dalam Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat anjuran UMNO Bahagian Pekan di Masjid An-Nur Ketapang Hilir di sini, malam ini.

Mengulas lanjut, Najib berkata, walaupun umat Islam dan orang Melayu paling ramai iaitu kira-kira 64 peratus, jika berpecah maka kaum majoriti tersebut menjadi minoriti dalam kerajaan dan situasi sedemikian sedang berlaku pada ketika ini.

Menurutnya lagi, Allah SWT mengingatkan jika berpecah dan bertelagah, umat Islam akan menjadi lemah dan hilang kuasa.

“Saya memberi peringatan berdasarkan ayat al-Quran dan jangan sesekali kita lupa kerana kalau kita lupa, kita akan hilang kuasa.

“Kita tidak dapat bayangkan bagaimana kedudukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dipersoalkan, ada surau hendak azan diminta perlahan, kaum Melayu dikatakan pendatang dan lain-lain lagi yang tidak pernah ada suara-suara sedemikian sewaktu kerajaan terdahulu yang menghina Islam serta orang Melayu,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau meminta umat Islam supaya tidak putus harapan dan menganggap apa yang berlaku sebagai ujian Allah SWT.

“Tanggungjawab kita ketika ini adalah bersatu atas ikatan penyatuan ummah, bangun dan mempertahankan Islam. Biarpun kita berbeza parti politik, tapi atas nama Islam, wajib kita bersatu dan berjuang atas landasan Islam,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE