Pihak pengurusan Baby Shima di Malaysia, MVM Production menerusi wakilnya, Hadi Rumnan menafikan wujud kejadian mistik ekoran insiden pengsan di pentas Big Stage malam tadi.

Jelas Hadi, pihaknya sentiasa memantau dan memastikan tiada ancaman terhadap Baby Shima sepanjang pertandingan berlansung sejak 5 Ogos lalu.

“Apa yang berlaku pada Baby Shima di pentas Big Stage malam tadi bukan kerana unsur-unsur mistik tetapi kerana terlalu penat.

“Memang pihak kami sudah diingatkan sebelum ini untuk memeriksa keadaan tempat itu sejak mula-mula sampai lagi dan tiada perkara yang mencurigakan pun.

“Kami pun tidak terfikir ke arah itu. Apapun, hanya Allah yang tahu jika wujud perkara sebegitu,” katanya kepada Gempak.

Kejadian pengsan di pentas pertandingan pernah berlaku kepada Siti Sarah ketika Gegar Vaganza musim ketiga di lokasi sama sekitar tahun 2016.

Namun, penyanyi itu menafikan khabar angin mendakwa dia disihir sebaliknya menjelaskan punca kejadian akibat terlalu lemah.

Malam tadi pula, bintang Big Stage Baby Shima rebah di pentas selepas selesai menyanyikan lagu Ku Takkan Bersuara (Nike Ardilla).

Baby Shima dikejarkan ke Hospital Shah Alam sejurus insiden itu.

Sementara itu, tambah Hadi pihaknya akan terus memberikan galakan kepada Baby Shima untuk meneruskan perjuangan pada minggu akan datang.

“Kami akan terus menasihati Baby Shima untuk menjaga diri dan terus mengikut nasihat yang disarankan doktor. Mungkin ada alternatif lain dengan pengambilan booster Vitamin B Complex untuk terus membekalkannya tenaga.

“Dia akan mengadakan persembahan di Makasar dan Palembang pada Sabtu depan dan semua persembahannya di Indonesia sudah berada dalam kontrak bersama syarikat di Indonesia. Cuma kami akan sentiasa memantau keadaannya dari semasa ke semasa,” tambahnya.

Persembahan bertenaga Baby Shima malam tadi mendapat komentar positif daripada juri dan melayakkannya ke minggu depan dengan lagu Makhluk Tuhan Paling Seksi (duet bersama Zizi Kirana).

Namun, Fara Hazel menjadi bintang pertama tersingkir pada konsert kedua Big Stage malam tadi.

Jangan lepaskan peluang untuk terus menyaksikan pertarungan 9 bintang muda dalam rancangan realiti baharu Big Stage.

Selain Baby Shima, Big Stage disertai Sarah Suhairi, Ariff Bahran, Afieq Shazwan, Andi Bernadee, Tajul, Syafiq Farhain, Baby Shima, Sissy Iman dan Wani Kayrie.

Rancangan yang ditaja oleh Vivo dan ditrendkan oleh Tik Tok ini akan disiarkan setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria(104) dan Ria HD (123).

Layari laman web www.bigstage.com.my untuk segala informasi mengenai program ini!