Azmin tidak terlalu yakin menang

Azmin tidak terlalu yakin menang

KUALA TERENGGANU 2 Okt. – Walaupun dianggap hampir pasti mengekalkan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak bersikap terlalu yakin.

Beliau yang telah mendahului pencabarnya, Rafizi Ramli dalam pemilihan parti itu di Pulau Pinang dan Johor menegaskan akan terus turun padang untuk bertemu dan memberi penjelasan kepada seluruh ahli agar perpaduan dalam parti tetap utuh.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Pidato Malaysia Baru sempena siri jelajah menjelang pemilihan parti di sini semalam.

Yang hadir sama, calon-calon Naib Presiden PKR iaitu Zuraida Kamaruddin, Tian Chua dan Shamsul Iskandar Mohd. Akin di samping calon Timbalan Ketua Wanita, Dr. Daroyah Alwi.

Walaupun perancangan siri jelajah ke negeri ini hanya diatur dalam tempoh 48 jam tetapi beliau bersyukur dengan sambutan dan sokongan yang diterima dalam kalangan anggota parti di seluruh daerah.

Mohamed Azmin mendahului pemilihan parti itu di Pulau Pinang, mengatasi cabaran Rafizi di negeri kelahiran Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menerima 3,326 undi berbanding Rafizi Ramli dengan 3,150 undi, sekali mendahului pesaingnya dengan kelebihan 176 undi

Beliau yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi terus mendahului pencabarnya dalam pemilihan di Johor apabila memperoleh 4,503 undi manakala Rafizi mendapat 3,976 di negeri itu.

Beliau menarik perhatian, gejala membodek dan mendewa-dewakan pemimpin semakin menular sehingga mewujudkan kelompok dalam parti yang memberi kesan negatif.

“Pokoknya saya mahu anggota parti setia kepada perjuangan, dan jangan taksub kepada pemimpin kerana budaya ini tidak sihat.

“Apabila kita berpegang kepada idealisme perjuangan apa pun gangguan dan cabaran yang datang kita tidak akan goyah dan lari daripada prinsip dan landasan perjuangan,” katanya. – UTUSAN

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Video Terkini

Loading...