KUALA LUMPUR  – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan berlaku perpecahan dalam melibatkan dua puak dalam parti itu yang masing-masing dikatakan diketuai oleh beliau sendiri dan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu memberitahu, tiada perpecahan berlaku kerana Anwar yang akan bertanding jawatan Presiden PKR telah menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad .

Menurut beliau, mana-mana pihak khususnya ahli-ahli PKR tidak sepatutnya terpengaruh dengan khabar angin tersebut.

“Mana ada, tak benar sama sekali. Jangan layan semua cerita-cerita. Anwar telah berulang kali menyatakan beliau sendiri memberikan sokongan yang padu kepada kepemimpinan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri.

“Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail telah mengeluarkan kenyataan, kalau boleh semak rekod bahawa menyeru semua anggota PKR mesti mendukung kepemimpinan Dr. Mahathir untuk memimpin kerajaan baharu Pakatan Harapan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, sebuah portal berita tempatan melaporkan, sumber dalaman PKR menegaskan bahawa terdapat dua puak dalam parti itu yang masing-masing setia kepada Anwar dan Azmin.