MESKIPUN tidak ulas panjang, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali turut berkongsi rasa kecewa isu pengosongan kerusi Parlimen Port Dickson untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dengan merujuk perkara itu yang kini dikenali sebagai ‘Langkah PD’ selepas Langkah Kajang pada 2014 gagal, beliau mendakwa isu tersebut hanya dibincang oleh kelompok pimpinan tertentu dalam parti sahaja.

“Saya percaya perkara ini boleh kita selesai dalam muafakat parti supaya tidak berlaku, terlepas pandang seperti ini pada masa akan datang,” katanya kepada wartawan selepas sesi perjumpaan dengan pemimpin PKR Wilayah Utara.

Pendedahan Azmin itu ternyata agak panas ketika pelbagai pemimpin PKR turut mengulas kenyataan Ketua Wanita PKR dan juga Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin yang persoal hal langkah terbaharu berkenaan.

Mengulas dengan lebih lanjut, Azmin berkata bahawa pandangan beberapa pemimpin itu adalah pandangan serius dan harus diberi perhatian.

Isu pengosongan kerusi Parlimen untuk Anwar bertanding jadi kontroversi kerana perbincangan mengenainya hanya dikuasai oleh team yang diketuai oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Azmin tidak hadir sidang akhbar pengumuman dan mesyuarat Biro Politik PKR membincangkan keputusan itu. Zuraida dan pimpinan PKR lain yang rapat dengan Azmin seperti Tian Chua juga tidak hadir.

Namun beliau, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata bahawa perkara itu yang kini sudah diputuskan sudah menjadi isu “akademik” dan tidak perlu dibincang dengan panjang lagi.

“Saya rasa tumpuan kita sekarang untuk memastikan kerusi Port Dickson kekal di tangan Pakatan Harapan melalui PKR dan saya telah menggesa anggota parti untuk bersatu dan bekerja kuat bagi mengekal kerusi itu,” katanya.

Dalam pada itu beliau menolak khabar angin kononnya beliau akan keluar parti berkenaan. Azmin berkata, perkara berkenaan sengaja ditimbulkan dan menganggapnya sebagai tohmahan jahat.

Katanya lagi, tidak masuk akal apabila beliau pula secara tiba-tiba mahu meninggalkan PKR ketika parti itu kini telah mempunyai kuasa dalam Kerajaan Persekutuan.

“Macam mana saya hendak beri maklum balas, nama pun khabar angin,” katanya. – Mynewshub