“Barangsiapa yang memberi makan berbuka kepada orang yang berpuasa, dia akan mendapat pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangkan sedikit pun pahala orang yang berpuasa tersebut”

Demikian sebahagian daripada hadis yang amat popular disebarkan setiap kali tibanya bulan Ramadan samada melalui media sosial, risalah-risalah derma mahupun yang disampaikan oleh penceramah di masjid-masjid.

Oleh kerana Ramadan adalah bulan mulia yang akan menggandakan ganjaran pahala, maka umat Islam amat mudah mempercayai hadis-hadis yang bersifat menambah pahala, menggandakan keberkatan,kerahmatan dan sebagainya.

Namun tidak ramai yang menyedari bahawa hadis berkenaan adalah palsu,mungkar atau daif. Bukan sahaja masyarakat bawahan yang tidak menyedarinya, malahan ada ada ramai juga penceramah dan pendakwah yang begitu aktif menyebarkannya tanpa mereka sendiri meneliti kesahihan hadis tersebut.

Menurut Ketua Jabatan Pengajian Islam, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr.Rozaimi Ramle, hadis yang dinyatakan di atas adalah berstatus dhaif kerana terputus sanadnya (Atho’ bin Abi Rabah tidak pernah mendengar hadis daripada Zaid bin Khalid al-Juhaniy)

Begitu juga dengan hadis popular berikut:

“Di dalam bulan Ramadhan pahala amalan wajib dilipatgandakan 70 kali ganda, manakala amalan yang sunnah (jika dilakukan di dalam Ramadhan), pahalanya disamakan dengan pahala amalan wajib yang dilaksanakan di luar Ramadhan”

Dr.Rozaimi telah menyimpulkan hadis ini sebagai Hadis Mungkar kerana diriwayatkan oleh seorang pemalsu hadis.

Berikut adalah beberapa hadis yang amat popular di sepanjang bulan Ramadan khususnya berlegar di ruang media sosial dan di kalangan penceramah-penceramah bebas. Namun hadis berkenaan adalah palsu atau dhaif:

1.“Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadhan bulan umatku” -Rujukan: Mufti Perlis

2.”Tidur orang puasa adalah ibadah, diamnya adalah tasbih”-Rujukan: Mufti Wilayah Persekutuan

3.”Sesiapa gembira dengan kehadiran ramadan, Allah haramkan jasadnya dari neraka” -Rujukan: Dr.Rozaimi Ramle

4. “Bulan Ramadhan, awalnya rahmat, tengah-tengahnya pengampunan dan akhirnya adalah pembebasan dari neraka.“ -Rujukan:Dr. Abdul Basit Abdul Rahman @Abu Anas Madani

5. Solat sunat Tarawikh mempunyai ganjaran dan pahala tertentu yang berbeza-beza pada setiap malam Ramadhan.-Rujukan: Mufti Wilayah Persekutuan

6. “Segala sesuatu ada zakatnya, dan zakat badan adalah puasa”.-Rujukan:Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan.

7. “Sesiapa yang memberi makan berbuka kepada orang yang berpuasa, dia akan mendapat pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangkan sedikit pun pahala orang yang berpuasa tersebut”--Rujukan: Dr.Rozaimi Ramle

8.”Di dalam bulan Ramadhan pahala amalan wajib dilipatgandakan 70 kali ganda, manakala amalan yang sunnah (jika dilakukan di dalam Ramadhan), pahalanya disamakan dengan pahala amalan wajib yang dilaksanakan di luar Ramadhan”-Rujukan: Dr.Rozaimi Ramle.

Menjadi kewajipan umat Islam untuk mencegah diri kita daripada menyebarkan hadis-hadis yang tidak sahih samada dalam kita sedar atau tanpa kita sedari. Rasulullah amat menegaskan berkenaan dosa pendustaan hadis ini di dalam sabda baginda:

“Barangsiapa yang berdusta di atas namaku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” [Riwayat al-Bukhari (110)]

Justeru, janganlah mudah menyebarkan sesuatu hadis apabila mendengar ‘bunyinya menarik’ atau sesuai dengan sesuatu isu semasa. Lebih bahaya lagi,jika ada penceramah atau pendakwah yang ingin menambah ‘keindahan’ dalam ceramah mereka, maka memasukkan hadis-hadis palsu.-MyKita