KUALA LUMPUR, 4 Ogos — Avon Cosmetics (Malaysia) Sdn Bhd akan menumpukan usaha menarik generasi muda dan meneroka pasaran berpotensi baharu menerusi e-dagang serta jelajah untuk mengekang penurunan perolehan dan jumlah wakil jualan.

Penyusutan perolehan dan jumlah wakil jualan memaksa firma kecantikan jualan langsung itu memulakan langkah pembaharuan besar dalam usaha menarik golongan muda khususnya profesional dan penuntut universiti yang lebih gemar menggunakan media sosial, dengan memperelok ‘personanya’ untuk menjana keuntungan yang lebih baik.

Mengakui jenama itu mempunyai kaitan rapat dengan produk untuk golongan wanita berusia berbanding millennial, Pengurus Besar Avon, Onur Erdinc berkata tiada salahnya identiti itu memandangkan Avon membuktikan ia mempunyai imej jenama yang kukuh selain dipercayai golongan wanita.

“Kami tidak bertahan kukuh selama 130 tahun tanpa sebarang pencapaian, namun ia tidak bermaksud kami perlu berpuas hati.

“Sudah tiba masanya Avon muncul semula daripada personanya sebagai jenama kaum ibu untuk generasi muda dan kekurangan (dalam pasaran generasi muda) adalah kelemahan asas yang kami alami,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini. — Bernama