KUALA LUMPUR: Meskipun sudah mengecap populariti, duo adik-beradik, Atmosfera tetap selesa meneruskan pekerjaan sebagai tukang kayu di sebuah kilang di daerah kelahiran mereka di Keningau, Sabah.

Duo yang dianggotai Hezron, 26, dan Hazrenol Rayner, 24, itu berkata, tiada sebab untuk mereka malu dan berhenti daripada pekerjaan itu kerana ia menjadi punca pertama sejak nama belum dikenali sebagai penyanyi.

Hezron berkata, dia dan adiknya bekerja di kilang itu selepas tamat sekolah, malah berbangga apabila ia masih menjadi sumber rezeki utama mereka.

“Kami pernah berhenti kerja ketika Atmosfera mula ditubuhkan, tetapi ia bukan langkah yang tepat. Sangkakan apabila mula menyanyi, pendapatan kami lebih selesa, tetapi sebaliknya berlaku.

“Disebabkan tiada pendapatan tetap, kami ambil keputusan untuk kembali menjadi tukang kayu,” katanya memaklumkan, Atmosfera kini sibuk mempromosikan lagu, Original Sabah dan Demi Si Kici.

Sementara itu, Hazrenol yang turut dikenali sebagai Ganak berkata, memandangkan mereka sudah berkeluarga dan mempunyai anak, dia dan abangnya memerlukan gaji tetap untuk menyara hidup.

“Undangan persembahan tetap ada, cuma kami masih belum berani untuk bergantung sepenuhnya kepada bidang nyanyian. Lagipun, kami sudah selesa melakukan kerja ini,” katanya.

Kumpulan yang popular dengan lagu, Berakhirlah Sudah dan Tak Tahu Malu itu berkata, mereka tidak pernah menerima layanan istimewa ketika bekerja, biarpun ramai yang menegur dan mahu mengambil gambar sejak mula dikenali.-BH Online