Baru-baru ini, pelakon Ashraf Muslim telah berkongsi khabar gembira bakal menimang cahaya mata keempat hasil perkahwinan dengan isteri kedua, Wan Sakinah Ahmad Saburi, 34, melalui laman sosial Instagram miliknya.

Menurut Ashraf atau nama sebenarnya Muhd Ashraf Muslim, 37, usia kandungan isterinya kini mencecah tujuh bulan dan dijadualkan melahirkan anak pada September ini.

“Alhamdulillah, kandungan Sakinah berada di dalam keadaan yang baik dan sihat,” katanya.

Ketika ditanya mengenai jantina bayi di dalam kandungan, pelakon tinggi lampai ini masih merahsiakannya daripada pengetahuan umum.

“Saya sudah mengetahui jantina anak saya, cuma tidak mahu dikongsikan sehingga hari bayi itu dilahirkan.

“Seeloknya, kita tunggu bayi keluar dulu dan saya akan umumkan nama dia juga pada masa itu,” katanya kepada Gempak.

Ashraf mempunyai dua isteri iaitu Noor Dayana Lokman dan Wan Sakinah Ahmad Saburi.

Pelakon itu mempunyai tiga cahaya mata bersama kedua-dua isterinya iaitu Sarah Ashraf, Anas Ashraf dan Adam Ashraf.