Amaran bencana dipertingkat

Amaran bencana dipertingkat

KANGAR 22 Sept. – Sistem amaran awal bencana di negara ini perlu dipertingkatkan keberkesanannya menerusi laman-laman sosial berikutan kadar penembusan internet yang semakin bertambah dalam kalangan masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, perkara itu penting agar orang ramai lebih bersedia dalam menghadapi sebarang bentuk bencana.

“Kita haruslah memanfaatkan platform media-media sosial ini untuk meningkatkan sistem amaran awal bencana kerana kadar penembusan internet oleh penduduk di negara ini telah mencapai 70 peratus.

“Kita tahu, agensi-agensi kerajaan telah berperanan dengan baik ketika menghadapi bencana tetapi adalah lebih elok jika masyarakat mempunyai maklumat lebih awal sebagai persiapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Penyerahan Wang Ihsan Kepada Mangsa Bencana Ribut Dengan Kerjasama Kerajaan Negeri Perlis di pejabat Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan dan barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Dalam majlis itu, Timbalan Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada tiga orang waris keluarga yang terkorban semasa kejadian ribut di negeri ini baru-baru ini manakala 109 buah keluarga pula masing-masing menerima wang tunai sebanyak RM500 untuk membaiki rumah yang rosak.

Selain itu katanya, sebanyak RM500,000 telah diperuntukkan untuk membaiki 58 buah sekolah di seluruh negeri ini yang turut mengalami kerosakan bumbung-bumbung bangunan.

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Video Terkini

Loading...