Aliran masuk pelaburan asing menurun

Aliran masuk pelaburan asing menurun

KUALA LUMPUR 1 Okt. – Pelabur antarabangsa membeli ekuiti tempatan di Bursa Malaysia bernilai RM212.3 juta minggu lalu, kira-kira separuh daripada aliran masuk asing dalam dua minggu sebelumnya.

Penganalisis MIDF Research, Danial Razak berkata, Malaysia adalah satu daripada dua pasaran yang mencatatkan aliran masuk mingguan, dalam kalangan pasaran ASEAN selain Indonesia.

“Bagaimanapun, Bursa merekodkan aliran keluar RM37.9 juta pada Khamis ketika pelabur asing bertindak balas terhadap kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan.

“Trend sama dilihat di seluruh pasaran ASEAN termasuk Thailand, Filipina dan Indonesia de­ngan aliran keluar asing tertinggi berjumlah AS$53.6 juta (RM221.93 juta) di Thailand,” katanya dalam laporan aliran dana mingguan di sini hari ini.

Walau bagaimanapun Danial berkata, aliran keluar dana asing itu kembali perlahan pada Jumaat dengan hanya RM10.9 juta.

Menurut beliau, bulan September menyaksikan aliran masuk asing bersih keseluruhan berjumlah RM66.3 juta.

“Sementara itu, aliran keluar untuk tahun ini setakat Jumaat lalu bernilai RM8.5 bilion atau AS$2.2 bilion, masih merupakan aliran asing kedua terendah dalam kalangan empat pasaran ASEAN yang dikaji.

“Pelabur institusi lebih aktif daripada pasaran runcit dan institusi asing dengan nilai dagangan harian purata mingguan (ADTV) 7.3 peratus lebih tinggi pada RM2.2 bilion,” katanya.

Tambah beliau, ADTV mingguan pasaran asing merosot lebih daripada 10 peratus, namun masih kekal di atas paras sihat RM1 bi­lion.

“Dalam pasaran runcit pula, ADTV meningkat 5.6 peratus kepada RM917.8 juta iaitu melebihi RM800 juta,” jelas beliau.

 

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Video Terkini

Loading...