SHAH ALAM: Bekas Setiausaha PAS Selangor, Norman Toha yakin ahli parti itu akan akur dengan arahan kepemimpinan pusat untuk mengundi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, 4 Ogos ini.

Beliau berkata, ini kerana kumpulan penentang dalam PAS sudah keluar menubuhkan parti baharu, manakala ahli yang ada ketika ini ialah mereka yang setia serta istiqamah dengan hala tuju parti.

“Kalau tanya (saya), saya yakin ahli PAS akan akur dengan arahan pucuk kepemimpinan parti untuk tidak memberi undi kepada calon yang ditampilkan PKR atau Pakatan Harapan (PH).

“Arahan yang dikeluarkan beberapa pemimpin utama PAS ini bersebab iaitu untuk menguatkan suara pembangkang serta untuk mengimbangi kekuatan PH.

“Selain itu, dalam keadaan agama Islam diancam dari segenap sudut, adalah penting untuk dua parti utama orang Melayu ini membentuk kerjasama,” katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Norman bagaimanapun berkata, UMNO dan PAS tidak akan membentuk blok pakatan pembangkang bersama, sebaliknya hanya bekerjasama mengikut keadaan semasa, terutama membabitkan isu Islam dan Melayu.

Mengenai kenyatan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu bahawa ahli PAS akan mengundi calon PKR, Norman dalam nada sinis berkata, bekas Timbalan Presiden PAS itu berada dalam ‘khayalan’.

“Dia (Mohamad) boleh berkata apa sahaja. PAS bukan seperti AMANAH yang menjadi parti ‘remote control’ (alat kawalan jauh). Perjuangan PAS penuh prinsip serta bermaruah,” katanya.

Semalam, Ahli Majlis Syura Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata, menjadi kewajipan kepada penyokong PAS menolak PH yang dilihat tidak menegakkan serta menjaga Islam.

Berikutan itu beliau berkata, secara automatik ahli PAS di Sungai Kandis perlu mengundi calon BN, Datuk Lokman Noor Adam serta menolak calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Selain itu, beberapa pemimpin PAS Pusat seperti Naib Presiden, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah; Ketua Penerangan, Nasrudin Hassan dan Ahli Jawatankuasa Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz turut mendorang ahli parti menyokong calon BN.

PRK DUN Sungai Kandis menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan Lokman, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan calon Bebas, K Murthy. – BH Online