PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, berkenan berangkat ke istiadat sambutan Hari Pahlawan di Dataran Pahlawan Negara, Presint 1, di sini, pagi ini.

Sebaik keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda, lagu ‘Negaraku’ dimainkan dan Sultan Muhammad kemudian memeriksa barisan kawalan kehormatan utama diiringi 21 das Tembakan Meriam Kehormatan yang disempurnakan 41 Bateri Istiadat, Rejimen Artileri Diraja diketuai Mejar Mohd Asri Che Wil.

Kawalan kehormatan itu terdiri daripada 103 anggota pangkat-pangkat lain berserta empat pegawai, diketuai Mejar Janius Abdiah Shahputra Janny dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Hadir sama, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; dan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan isteri, Normah Alwi.

Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, dan isteri, Puan Sri Rusnah Abdul Rahman.

Program kemudian diteruskan dengan deklamasi sajak berjudul Pahlawan oleh Leftenan Farahanina Ismail dan Asisten Superintendan Rahimi Hamzah daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Hadirin turut dipersembahkan pantomim bertajuk ‘Operasi Iblis 1971’ (Ops Iblis) oleh enam pegawai dan 98 anggota LLP dari Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (RRD) diketuai Pegawai Memerintah BN 1 RRD Leftenan Kolonel Mohd Khairulnizam Sulaiman.

Pantomim itu dipersembahkan bagi mengenang jasa Kapten V Mohana Chandran yang terkorban dalam pertempuran yang turut mencederakan dua anggota renjer iaitu Abang Bolhi Abang Doladi dan Bajau ak Ladi.

Ops Iblis dilancarkan oleh Markas Briged Kedua lnfantri Malaysia pada tahun 1971 berikutan penemuan kehadiran pengganas komunis di kawasan Hutan Korbu, Sungai Siput dan Tanah Hitam, Perak pada 31 Mei 1971.

Ia digerakkan bagi mencari dan memusnahkan Unit Penggempur ke-5 Pasukan Gerakan Komunis (PGK) yang menjadikan kawasan Bukit Berapit, Air Kala, Hutan Simpan Kinta dan Slim River, Perak sebagai kubu baharu mereka.

Pada 3 Jun 1971, satu kumpulan tinjau khas berkekuatan 23 orang anggota campuran yang diketuai Mohana Chandran bergerak menuju ke kawasan Tanah Hitam Chemor melalui Hutan Rizab Bukit Kinta, Perak bagi mengesan pengganas komunis itu.

Bagaimanapun, kumpulan anggota itu dipecahkan kepada kumpulan kecil dengan Mohana Chandran mengetuai kumpulan itu untuk menjejaki kem musuh dengan lebih dekat.

Mohana Chandran terkena tembakan apabila diserang kira-kira 25 hingga 30 komunis tetapi dia tidak berganjak terus berbalas tembakan sebelum sebutir peluru menembusi kepalanya.

Diceritakan juga, mendiang masih terus menembak sebagai tindak balas refleks sehingga tubuhnya kaku.

Turut digambarkan, walaupun dengan kekuatan anggota yang kecil namun, mendiang berjaya mengelirukan musuh mengenai kekuatan sebenar pasukannya apabila menjerit seolah-olah mereka hadir dengan kekuatan satu platun.

Mohana Chandran dianugerahkan Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) pada 7 Jun 1972 oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong secara Posthumous manakala, Bajau dan Korporal Osman Sharif dianugerahkan pingat Panglima Gagah Berani (PGB) manakala, Abang Bolhi diberi penganugerahan Kepujian Perutusan Keberanian (KPK).