Ada individu tawar projek – Anwar

Ada individu tawar projek – Anwar

KOTA KINABALU 23 Sept. – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui wujud individu tertentu yang berkuasa menawarkan projek bagi mendapat sokongan ahli dalam pemilihan parti itu.

Anwar berkata, beliau tahu perkara itu wujud, justeru tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemimpin yang menggunakan taktik kotor untuk menang jawatan.

Menurut Anwar, beliau mahu hanya pemimpin yang bersih mene­rajui parti agar objektif utama PKR mentadbir negara dengan pembaharuan lebih baik dapat dicapai.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan supaya setiap perwakilan parti agar memilih berdasarkan pemimpin yang berkaliber dan menawarkan polisi terbaik bukannya menggunakan kuasa untuk kepentingan sendiri.

Anwar juga mengakui wujud kelemahan dalam sistem pemilihan parti itu sehingga menimbulkan kekecohan dan menyebabkan proses pengundian di sembilan cabang di Kedah ditangguhkan.

Bagaimanapun katanya, kelemahan itu tidak boleh dijadikan alasan untuk menimbulkan kekecohan termasuk insiden membaling kerusi yang berlaku di Pulau Pinang sehingga menjejaskan imej parti.

Sehubungan itu tegasnya, mana-mana ahli yang menimbulkan kekecohan dan terlibat dalam insiden membaling kerusi itu akan dipecat daripada parti.

“Dulu MIC terkenal dengan membaling kerusi, jadi MIC sudah tiada dia ganti masuk Keadilan (PKR), baling kerusi, saya punya jawapan orang yang baling kerusi itu kita akan baling dia keluar daripada parti.

“Memang ada kelemahan dalam corak kepimpinan sebab itu kita tangguh untuk Kedah semalam dan hari ini di Perak, kerana kita mahu pastikan pemilihan bersih,” katanya.

Yang turut hadir, Pengerusi PKR Sabah, Christina Liew dan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) negeri.

 

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Video Terkini

Loading...