KUALA TERENGGANU 15 Ogos – Jumlah ibu dan bapa tunggal di negeri ini mencatatkan peningkatan kepada 43,269 orang pada tahun ini berbanding 32,000 yang didaftarkan sepanjang tahun lalu.

Daripada jumlah tersebut, seramai 35,426 orang terdiri daripada ibu tunggal manakala hanya 7,943 orang bapa tunggal yang memperlihatkan wanita sebagai ibu lebih sukar untuk kembali dalam kehidupan berumah tangga.

Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Mohd Shafaruddin Mustaffa memberitahu, daerah Kemaman merekodkan bilangan ibu dan bapa tunggal paling tinggi iaitu seramai 6,972 orang manakala Hulu Tengganu pula merupakan daerah paling sedikit dengan rekod seramai 4,165 orang.

“Walaupun bilangan ini (yang dikaitkan dengan kes perceraian dan kematian) semakin meningkat, namun ia tidak membimbangkan dan bukan menjadi beban kepada kerajaan negeri yang sentiasa memberi perhatian terhadap nasib mereka terutama kalangan ibu.

“Kita lihat golongan ini sebenarnya suatu aset penting, dan pelbagai perancangan digerakkan termasuk program bercorak kebajikan dan pembangunan diri dalam membantu mereka selaku rakyat negeri ini,”katanya.

Beliau memberitahu demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Cek Saguhati Perkahwinan Ibu dan Bapa Tunggal serta Pinjaman Modal Program Jaya Diri (PJD) di Dewan YPKT, di sini petang ini.

Penyampaian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga & Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat.

Dalam majlis tersebut, seramai 117 ibu dan bapa tunggal telah menerima insentif perkahwinan masing-masing sebanyak RM1,000 manakala 60 orang merupakan penerima cek pinjaman modal yang berjumlah RM563,000.

Menurut Mohd Shafaruddin, pemberian insentif perkahwinan itu yang diperkenalkan beberapa tahun lalu telah memasuki fasa keenam dengan melibatkan 258 penerima di negeri ini.

Katanya, bagi bantuan PJD pula, sehingga bulan Jun tahun ini, YPKT telah mengeluarkan pinjaman sebanyak RM4.097 juta melibatkan 465 penerima.

‘Kita harapkan penerima insentif perkahwinan dan PJD ini mampu merealisasikan impian kehidupan lebih bermakna, dan membentuk keluarga lebih bahagia,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE