KUALA LUMPUR 31 Okt: Gabungan 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah diwujudkan dengan nama Gagasan Tiga (G3) bagi memperjuangkan matlamat yang sama iaitu menyatu dan mempertahankan bangsa Melayu.

Gabungan itu juga berperanan memelihara kesucian agama Islam sebagai agama rasmi, mempertahankan institusi Raja Melayu dan seterusnya memastikan kebajikan umat Islam di negara ini terus terbela.

Mesyuarat Penubuhan G3 yang diadakan di Pandah Indah,dekat sini hari ini telah dipengerusikan oleh Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Datuk Azwanddin Hamzah dan memberi mandat kepada Ketua Gerakan Malaysiaku Tanahairku, Raggie Jessy sebagai pengerusi manakala Presiden Consent Malaysia, Amran Ahmad Nor sebagai timbalan.

Azwanddin berkata, teras utama yang mendorong kepada penubuhan G3 adalah wujudnya ancaman kepada kepentingan bangsa Melayu dan umat Islam dalam situasi pentadbiran negara oleh Kerajaan Malaysia masa ini.

“Kesemua 40 NGO tersebut telah bersepakat dan bersetuju bergabung dibawah G3 memandangkan kesemua NGO terbabit mendokong matlamat perjuangkan yang sama ke arah perpaduan ummah.

“Gabungan ini telah bersepakat untuk mengisytiharkan satu deklarasi rasmi dalam masa terdekat ini berhubung perjuangan G3,” katanya.-Malaysiakita